Pages

Ads 468x60px

Labels

'Cuti Raya Untuk Selama-lamanya'























Orang ramai yang mengerumuni lokasi kejadian di Kuala Akob, pagi semalam.


KUALA BERANG - "Makcik benar-benar terkejut hingga tertolak tong sampah berhampiran ketika menerima berita kejadian yang menimpa anak daripada rakannya.

"Ketika itu makcik sedang bekerja sebagai tukang sapu di Bandar Kuala Berang," kata RokiahChe Jusoh, 52.



             Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa.

Rokiah ialah ibu Saharudin Shahar Alam, 35, dari Kampung Pauh, yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8 pagi semalam, di Kilometer 8 Jalan Tajin-Telemong, di Kuala Akob, membabitkan dua motosikal jenis  EX5 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Menurut Rokiah, sebelum dia ke tempat kerja kira-kira jam 7 pagi, anak sulung daripada sembilan beradik itu sempat menegurnya dan memaklumkan akan beraya ke Kampung Buluh Gading, Manir, memandangkan dia masih bercuti raya dan belum mendapat arahan majikan untuk ke Kemaman.

“Melihat makcik bersiap-siap untuk ke tempat kerja, dia bertanya makcik sama ada makcik sudah mahu pergi kerja dan makcik hanya mengiyakan sahaja.

"Tidak sangka itulah perbualan yang terakhir dan makcik benar-benar terkejut apabila mendapat tahu dia maut dalam kemalangan," katanya.

Sedia juadah kegemaran anak

Rokiah berkata, anaknya bekerja di bahagian pendawaian di Kemaman dan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.

"Dia masih bercuti dan sedang menunggu arahan majikannya untuk ke Kemaman pada bila-bila masa. Rupa-rupanya dia bercuti untuk selama-lamanya.

"Sebelum kejadian, tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan dan sebagaimana biasa, sempena raya, makcik sediakan juadah kegemarannya iaitu nasi himpit. Apa pun, makcik reda dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Jenazah Allahyarham Saharudin Shahar akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pauh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Tajin-Kuala Telemong terlanggar sebuah motosikal di hadapannya dari arah belakang.

"Sebelum kejadian, terdapat sebuah motosikal jenis EX5 ditunggang Mohd Anuar Kassim, 41, dari Kampung Kuala Akob yang berhenti dan menyalakan lampu isyarat membelok ke kanan untuk masuk ke satu lorong.

“Berkemungkinan mangsa tidak perasan dengan isyarat lampu tersebut lalu cuba memotong motosikal berkenaan hingga menyebabkan kemalangan. Mohd Anuar terjatuh ke sebelah kiri jalan, manakala mangsa ke kanan jalan iaitu laluan bertentangan," katanya.

Terseret sejauh 15 meter

Menurutnya, ketika itu terdapat sebuah kereta jenis Perodua MyVi dari arah Kuala Telemong menghala ke Kampung Tajin dipandu Mukminah Mohd, 29, berasal dari Kampung Baru Tetambah Manir.

"Pemandu tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa, yang kemudiannya terseret sejauh kira-kira 15 meter.

"Kereta tersebut terbabas ke dalam parit dan turut merempuh tiang telefon. Mangsa maut di lokasi kejadian, sementara Mohd Anuar pula cedera parah. Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan sentiasa mengawasi jarak kenderaan masing-masing bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini terutama sepanjang musim perayaan ini.


SAHARUDIN SHAHAR ALAM

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...