Pages

Ads 468x60px

Labels

DITIKAM RAKAN SENDIRI KERANA MENUNTUT HUTANG


MELAKA – Gara-gara menuntut hutang lama, seorang lelaki maut ditikam rakan sendiri dalam kejadian di Taman Malim Jaya, Malim, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi itu, mangsa, Chong Piang Fong, 49, datang ke rumah rakannya berusia 25 tahun yang terletak di Jalan Zahir 19 untuk menuntut hutang berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, ketika datang ke rumah berkenaan dengan menaiki Perodua Kancil bersendirian, mangsa turut membawa kayu pendek.

Bagaimanapun, katanya, berlaku pergaduhan antara kedua-dua rakan berkenaan, sebelum suspek bertindak menikam dada mangsa dengan pisau di bilik utama tingkat atas rumah terbabit.



"Mangsa ditemui rebah dan maut di hadapan rumah berkenaan kerana mengalami pendarahan yang banyak. Suspek bagaimanapun melarikan diri sebaik kejadian menerusi pintu belakang rumah berkenaan.

"Namun, seorang lelaki berusia 60 tahun mengikut suspek dari belakang dan menghubungi polis, sebelum polis berjaya memberkas suspek kira-kira 10.50 pagi ketika sedang berlegar-legar berhampiran sebuah hotel di Limbongan," katanya.

Menurutnya, tiga orang di dalam rumah berkenaan berusia 25 hingga 30 tahun termasuk anak kepada tuan rumah turut ditahan bagi membantu siasatan.

Mereka dikatakan berada di rumah berkenaan sebagai pekerja kontrak bagi membina ruang tambahan rumah.

"Hasil siasatan mendapati, keempat-empat yang ditahan berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu. Polis turut menemui walkie-talkie dan kamera litar tertutup yang berkemungkinan ada kaitan dengan kegiatan lain dilakukan suspek di rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Gunarajan berkata, rekod polis juga mendapati suspek merupakan bekas tahanan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) yang dibebaskan dari penjara di Batu Gajah, Perak pada Mei 2012.


"Setakat ini, polis masih mencari pisau yang dibuang suspek selepas menikam mangsa. Mangsa juga dikatakan pernah datang ke rumah berkenaan sebelum ini.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat," katanya.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...