Pages

Ads 468x60px

Labels

KASIHAN.. KANAK-KANAK 4 TAHUN INI DITINGGALKAN BAPA


IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki ditinggalkan bapanya di kaunter Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kinta, kelmarin.
Pegawai JKM Daerah Kinta, Mohd Mahir Mohd Tahir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.02 pagi, kanak-kanak berusia empat tahun dan membahasakan dirinya ‘Abang Saiful’ itu tiba di kaunter pejabat berkenaan bersama seorang lelaki.
Menurutnya, lelaki yang dipercayai bapa kepada kanak-kanak terbabit dilihat keluar daripada pejabat berkenaan 15 minit kemudian sejurus menerima satu panggilan telefon.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kami melihat mereka berdua hadir ke pejabat sebelum lelaki terbabit tiba-tiba ‘hilang’.
“Pegawai di kaunter mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan bertindak mencari lelaki terbabit namun gagal. Sewaktu kejadian, keadaan di luar pejabat agak sibuk memandangkan raptai penuh perbarisan Hari Kemerdekaan sedang dijalankan,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata pihaknya membawa kanak-kanak terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk membuat laporan polis sebelum ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapat hak jagaan sementara seperti yang termaktub dalam Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, setakat ini pihaknya belum menerima maklum balas daripada polis berhubung kanak-kanak berkenaan. Kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Kuala Kangsar.

Katanya, pemeriksaan kesihatan ke atas kanak-kanak itu mendapati dia sihat dan tidak didera.
“Malah, dia mudah dijaga dan tidak takut dengan orang. Selain itu, dia memberitahu mempunyai seorang abang bernama Kimi dan seorang adik perempuan.

“Dia akui rakaman lelaki di dalam CCTV yang dilihat adalah bapanya,” katanya.
Berikutan itu, Mohd Mahir meminta orang ramai mengenali kanak-kanak tersebut tampil memberi maklumat supaya dia boleh pulang semula ke pangkuan keluarga.
Bagi mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pejabat JKM Daerah Kinta di talian 05-2418860 atau Mohd Mahir di talian 019-3291176.
-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...