Pages

Ads 468x60px

Labels

MAKAN AYAM BUSUK PUNCA KERACUNAN MAKANAN!!!


Makan ayam sudah busuk

Sungai Petani: Jabatan Kesihatan Kedah mengesahkan bahawa punca keracunan makanan sebilangan tetamu majlis perkahwinan itu adalah berpunca daripada masakan ayam masak merah kerana terdapat bukti ayam yang dimasak dipercayai sudah rosak dan busuk.
Pengarah Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati, masakan berkenaan menjadi punca kejadian itu memandangkan tempoh ayam itu disimpan selepas dimasak agak lama dan sesuai untuk pembiakan kuman.
“Menerusi siasatan, kita mendapati ayam berkenaan digoreng pada petang sehari sebelum majlis perkahwinan dan ayam itu dimasak semula pada pagi Sabtu lalu. Tempoh masa yang panjang sesuai untuk pembiakan kuman sekali gus menyebabkan punca keracunan makanan.
“Kita sudah menghantar sampel najis mangsa ke Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh (Kuala Lumpur) dan setakat ini, kita dapati keputusan menunjukkan negatif bagi kolera (taun), bagaimanapun, kita masih menunggu laporan bagi keputusan kuman samonela (biasa terdapat dalam usus ayam),” katanya.

Selain itu, menurutnya, berdasarkan keputusan bedah siasat yang dilakukan menunjukkan punca kematian tiga mangsa adalah daripada hidrasi atau kekurangan cecair dalam badan.
Beliau turut menasihatkan kepada semua individu supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran jika mempunyai simptom keracunan makanan seperti muntah atau cirit birit.
“Kita juga sudah menubuhkan satu pasukan khas yang akan melaksanakan siasatan menyeluruh dan mereka ditempatkan di Hospital Yan dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
“Kakitangan di Hospital Yan juga sudah ditambah hasil bantuan daripada Hospital Kuala Nerang dan Jitra,” katanya.
Dr Ismail berkata, setakat ini, sebanyak 270 kes dilaporkan mendapatkan rawatan di hospital selepas makan ayam masak merah di rumah majlis perkahwinan berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang mendapatkan rawatan di HSAH adalah 127 kes di mana 38 pesakit ditahan dalam wad, manakala dua lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Di Hospital Yan, sebanyak 138 kes mendapatkan rawatan di mana 62 pesakit ditahan dalam wad, manakala 68 dirawat sebagai pesakit luar dan 18 kes lagi dirujuk ke Hospital Sik dan Hospital Baling.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut bagi mengenalpasti punca kejadian berkenaan sehingga mengakibatkan tiga mangsa terkorban akibat keracunan makanan selepas makan ayam masak merah itu.
“Kita sedang menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Tinjauan Harian Metro di Kampung Huma, Tanjung Dawai, dekat sini, mendapati Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengambil langkah drastik dengan mewujudkan pusat pemeriksaan saringan sementara susulan kejadian keracunan makanan yang sudah mengorbankan tiga individu setakat ini.
Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam) Dr Hayati Mohd Radzi memaklumkan bahawa langkah drastik itu diambil bagi membuat saringan kepada penduduk kampung berkenaan yang mempunyai simptom sama dan mereka yang didapati kronik akan dirujuk ke klinik kesihatan terdekat.
“Setakat jam 12 tengah hari ini (semalam), seramai 71 penduduk kampung sudah datang mendapatkan rawatan dan pemeriksaan berikutan simptom keracunan makanan seperti cirit birit dan muntah.
“Daripada jumlah itu, enam individu sudah dirujuk ke Klinik Kesihatan Merbok dan mereka berusia antara 11 hingga 38 tahun kerana menunjukkan tanda dehidrasi.
“Kami sudah memulakan operasi di pusat sejak 11 pagi tadi (semalam) dan operasi saringan itu akan ditutup sebaik semua penduduk kampung sudah menjalankan pemeriksaan.
“Kita perlu mengetahui jenis makanan diambil dan selepas itu baru tindakan susulan boleh diambil. Setakat ini, kami masih merekodkan maklum balas daripada pesakit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...